UNSUR EUFEMISME DAN PERUMPAMAAN DALAM TEKS HIKAYAT IBAN

  • HARISHON RADZI
  • PHYLISIA ANAK DAVID
Keywords: bahasa halus, eufemisme, perumpamaan, cerita hikayat, perubahan.

Abstract

Sebagai sebuah masyarakat timur amnya dan nusantara khasnya, ternyata masyarakat Iban kaya dengan kesopanan dan kesantunan berbahasa. Hal ini jelas terbukti dengan adanya penggunaan bahasa halus dalam komunikasi seharian antara sesama mereka. Bahasa halus yang digunakan pula terdiri daripada pelbagai bentuk tetapi makalah ini mengetengahkan dua sahaja bentuk penggunaan bahasa halus iaitu kata eufemisme dan perumpamaan. Kedua-dua bentuk bahasa halus ini
merupakan bentuk yang digunakan oleh orang Iban zaman dahulu sepertimana yang terakam dalam cerita hikayat di samping bentuk kata ganti nama. Makalah ini membincangkan aspek kesopanan berbahasa atau penggunaan bahasa halus yang terdapat dalam cerita hikayat masyarakat Iban di Sarawak. Kajian ini menjadikan teks cerita hikayat sebagai medium kajian, iaitu tiga buah buku cerita hikayat Iban yang memaparkan kisah tentang kehidupan kaum Iban zaman lampau, iaitu Bunga
Nuing Ngamboh, Lumpong Manding dan Satangkai. Di samping kajian teks, kajian ini melibatkan kajian lapangan menerusi kaedah menemu bual beberapa orang informan untuk tujuan mendapatkan maklumat yang lebih tepat. Dapatan daripada kajian ini disampaikan secara deskriptif yang menunjukkan bahawa, penggunaan bentuk-bentuk bahasa halus sepertimana yang terpapar dalam cerita hikayat Iban telah mengalami serba sedikit perubahan. Justeru, kajian ini dapat dianggap memperkaya lagi maklumat kebahasaan berkaitan dengan bahasa Iban.

Published
2016-12-02