SIKAP DAN PERSEPSI TERHADAP PEMBELAJARAN BAHASA JEPUN DI KALANGAN MAHASISWA UKM
Abstract
Makalah ini mengenal pasti sikap dan perspektif terhadap bahasa Jepun sebagai bahasa asing di kalangan mahasiswa kursus bahasa Jepun di UKM. Pendekatan analisis kandungan dimanfaatkan bagi menganalisis data kajian yang bersifat kualitatif yang diperolehi melalui kaedah soal selidik dengan penglibatan seramai 26 orang responden. Kajian ini dijalankan bersandarkan Model Sosiopendidikan yang dikemukakan oleh Gardner. Hasil kajian menunjukkan bahawa secara keseluruhannya responden mempunyai sikap positif terhadap pembelajaran bahasa Jepun disebabkan mereka mempunyai kedua-dua orientasi integratif dan orientasi instrumental yang positif. Kedua-dua orientasi yang positif tersebut mempengaruhi sikap terhadap pembelajaran bahasa Jepun. Namun, kedua-dua pelajar Melayu dan Cina menonjolkan kesukaran dalam pembelajaran tatabahasa dan kosa kata bahasa Jepun. Walau bagaimanapun, pelajar Cina bersikap positif terhadap ciri bahasa Jepun disebabkan banyak ciri persamaan antara bahasa Jepun dengan bahasa ibunda mereka. Pelajar Melayu pula menunjukkan kedua-dua orientasi integratif dan instrumental yang positif kerana responden berbangsa Melayu cenderung untuk meneroka dunia yang baru serta mempercayai manfaat menguasai bahasa Jepun. Sebagai kesimpulan, pelajar bahasa Jepun di UKM bersikap positif terhadap bahasa Jepun, dan seterusnya menunjukkan motivasi untuk mempelajari bahasa.


